Bilangan kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan pada minggu epid 5/2010 telah meningkat sebanyak 25% berbanding dengan dua minggu yang lepas. Bilangan kejadian kluster ILI juga meningkat dari 4 pada minggu epid 4/2010 ke 8 kejadian kluster pada minggu 5/2010.
Kejadian kluster ILI yang telah dilaporkan sepanjang minggu lalu, adalah di SK Padang Negara, Kuala Terengganu; SK Indera Shahbandar, Kuala Lipis; MRSM Kuala Terengganu; PLKN Merang Suria Holiday Camp, Setiu; SMK Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Terengganu; SK LKTP Jerangau, Dungun; SM Mahmaud, Raub dan Sekolah Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya. Bilangan pelajar/pelatih yang terlibat bagi setiap kluster adalah diantara 3 ke 21 orang. Lima daripada lapan kejadian kluster tersebut adalah positif untuk Influenza (H1N1). Langkah-langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan di setiap sekolah/PLKN tersebut telah dilaksanakan.
Bagi mencegah dan mengawal kejadian kluster di sekolah dan PLKN, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan pelatih dan juga pihak berkuasa di Kem PLKN serta pelajar di semua institusi seluruh negara agar berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang telahpun terbukti berkesan. Langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan oleh pelajar dan pelatih PLKN adalah:
- Bagi pelajar/pelatih yang mengalami demam, batuk dan sakit tekak; mereka perlulah mendapat rawatan dengan segera terutamanya mereka dari golongan berisiko tinggi jangkitan H1N1 dan perlu tinggal di rumah atau di bilik berasingan serta tidak meneruskan aktiviti latihan atau aktiviti pembelajaran di sekolah/institusi sementara waktu. Para pelajar/pelatih boleh kembali meneruskan aktiviti harian apabila telah sembuh;
- Basuh tangan dengan kerap menggunakan air atau sanitiser, terutamanya selepas batuk atau bersin;
- Amalkan adab batuk yang baik iaitu dengan menggunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan jangan berkongsi sapu tangan;
- Pakai penutup hidung dan mulut jika mempunyai tanda-tanda demam selsema seperti demam, batuk dan sakit tekak dan jangan mengunjungi tempat awam untuk elakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain;
- Elakkan pergaulan rapat dengan mereka yang bersimptom jangkitan H1N1 atau influenza like-illness(ILI);
- Amalkan cara hidup sihat iaitu dengan mengambil diet yang seimbang, kerap bersenam, tidur secukupnya dan minum banyak air.
Pihak berkuasa di Kem PLKN dan institusi haruslah memastikan pelatih dan pelajar sentiasa berada dalam keadaan sihat serta memantau tahap kesihatan mereka. Sekiranya mengalami tanda-tanda Influenza A(H1N1), mereka perlu dirujuk untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera serta melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya berlaku kejadian kluster.
Sejumlah 391 pesakit baru dengan simptom Influenza-Like Illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dalam tempoh seminggu yang lepas (31 Januari - 06 Februari 2010). Sementara itu 356 kes pula telah discaj keluar. Baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara pada hari terakhir minggu epid 05/2010 (06 Februari 2010) adalah sebanyak 380 kes di 48 buah hospital termasuk 4 hospital swasta. Daripada jumlah tersebut, 14 pesakit atau 3.7% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Dalam tempoh yang sama satu (1) kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi menjadikan 2 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) pada hari terakhir minggu tersebut. Salah seorang daripada kes tersebut merupakan kanak-kanak berumur kurang 5 tahun. Sehingga 06 Februari 2010, jumlah terkumpul kes positif influenza A(H1N1) adalah 12,419. Tiada kematian baru kes H1N1 dan jumlah terkumpul kekal 77 sehingga kini.
Pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan influenza A(H1N1) bermula pada minggu ini. Orang ramai yang di kategorikan sebagai kumpulan sasar berkeutamaan boleh mendapatkan suntikan di fasiliti kesihatan kerajaan yang di kenalpasti sebanyak 104 di seluruh negara. Memandangkan bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian vaksin dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve. Penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu bagi menerima vaksin. Orang ramai yang layak mendapatkan pelalian ini dikehendaki membaca terlebih dahulu maklumat mengenai pelalian vaksin influenza A(H1N1) dan perlu memberikan keizinan bertulis dengan mengisi dan mengembalikan borang keizinan bertulis.
Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) yang telah diumumkan sebelum ini. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan Influenza H1N1 serta langkah-langkah pencegahan dan fasiliti kerajaan yang terlibat dalam pemberian vaksin H1N1 boleh memperolehinya melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. Maklumat juga boleh diperolehi melalui hotline: 03-88810200 dan 03-88810300.
Sekian, terima kasih.
(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
12 Februari 2010

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.
Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.
Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.
(sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)












